Friday, November 30, 2012

MODEL BARU POLITIK MAHASISWA: POLITIK NILAI, IDEA & HUJAH



1.  Penubuhan Kelab Penyokong Barisan Nasional Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang diadakan serentak dengan Perhimpunan Agung UMNO 2012 baru-baru ini mengundang pelbagai reaksi ramai pihak terutamanya daripada warga mahasiswa. Sebilangan pihak menyambut baik usaha yang dijalankan, bertepatan dengan kehendak semasa bagi pihak BN untuk meraih sokongan dalam kalangan mahasiswa untuk menghadapi PRU-13 yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat. Namun tidak kurang ramai juga yang tidak bersetuju atas pelbagai alasan rentetan daripada kewujudan entiti tersebut.

2.  Hasil pemerhatian dan penelitian berdasarkan  beberapa komentar dan ulasan yang diberikan berkaitan hal ini,kesimpulan awal yang boleh saya nyatakan disini adalah masih ramai daripada kalangan mahasiswa yang gagal untuk memahami isu ini dalam kerangka yang sebenar dan menyeluruh. Dalam hal ini saya secara peribadi melihat hal yang berlaku ini merupakan satu perkembangan yang baik untuk pembangunan mahasiswa. Namun bagaimana pelaksanaan yang ingin direncanakan itu yang mungkin menjadi keraguan serta kebimbingan kebanyakan pihak.

3. Pada perkiraan saya yang penting  pada masa kini kita mulakan terlebih dahulu langkah pertama, segala kekurangan & kesilapan yang berlaku terus diperkukuh dan diperbaiki dari semasa ke semasa. Tahniah saya ucapkan kepada mereka yang menjadi pendukung/pengerak dalam penubuhan kelab penyokong BN IPTA baru-baru ini, paling kurang anda kumpulan mahasiswa yang ada pendirian, berani dan jelas dalam menentukan sikap dan kecenderungan politik anda berbanding dengan mereka yang mengambil sikap berkecuali dan terumbang-ambing tanpa pendirian yang jelas & konkrit, cuma pesan saya apapun kecenderungan anda biarlah ia dibimbing dan dibekalkan dengan kefahaman ilmu yang mendasar terhadap prinsip perjuangan bukan merupakan tindakan membabi buta tanpa kefahaman yang jitu tentang halatuju dan matlamat  yang ingin diperjuangkan.

4. Akta Universiti & Kolej Universiti (AUKU) pindaan 2012 membenarkan partisipasi mahasiswa dalam politik kepartian tetapi dibataskan dengan hanya berlegar diluar lingkungan sempadan kampus. Sebelum saya berganjak jauh mengupas topik perbincangan pada kali ini, saya rasa, baik kiranya kita melihat serba sedikit apakah sebenarnya peranan, tanggungjawab & sumbangan yang boleh diberi oleh mahasiswa kepada masyarakat dan negara agar kita sama-sama telusuri topik ini dalam kerangka yang lebih jelas dan menyeluruh. Secara mudah terdapat tiga skop utama peranan mahasiswa masa kini yakni:

Mahasiswa Sebagai Agen Perubahan Sosial
 
            5. Mahasiswa perlu menyedari hakikat keberadaan mereka di dalam universiti bukan hanya untuk mendapatkan segulung ijazah yang akhirnya hanya menumpukan soal masa hadapan yang menjurus  kepada keuntungan & kejayaan peribadi semata-mata tanpa memikirkan apakah sumbangan yang perlu dicurahkan untuk membantu membina dan membangunkan masyarakat dan negara.  Sikap  Individual Centric’ yang hanya mementingkan diri sendiri tanpa meletakkan rasa tanggungjawab serta semangat untuk berbakti dan berkhidmat bagi membangunkan masyarakat dan negara yang berlaku mutakhir ini cukup merugikan dan membimbangkan. Semangat juang ini sudah hilang dan tumpul ditelan zaman, kumpulan mahasiswa sewajarnya perlu memupuk hasrat dan cita-cita untuk bersama-sama membina dan membangunkan negara agar terus maju pada masa hadapan dalam kerangka dan acuan yang tersendiri. Harapan yang diletakkan dibahu mahasiswa dan anak muda perlu direalisasikan dengan penuh kesungguhan dan rasa tanggungjawab. Mahasiswa perlu dilihat lebih agresif, proaktif, optimis,responsif, idealis, realis,oportunis dan kompetan untuk menyumbang kearah perubahan yang lebih baik demi kesejahteraan masyarakat dan negara.

Mahasiswa Sebagai Penyelesai Masalah

            6. Dalam menghadapi persekitaran global yang tidak menentu dan serba mencabar, mahasiswa perlu tampil dengan idea-idea yang lebih progresif dan kreatif dengan mengemukakan inisiatif dan alternatif  terbaik terhadap segala permasalahan yang timbul didalam negara. Ruang dan peluang sewajarnya diberikan kepada mahasiswa terutama dalam proses membuat sesuatu keputusan agar suara mahasiswa diambil kira dan diraikan sewajarnya dan tidak  hanya terbatas kepada isu-isu yang berlegar berkaitan hal-ehwal mahasiswa mahupun belia, namun ruang yang lebih daripada itu diperlukan terutamanya dalam hal yang menyentuh berkaitan meletakkan hala tuju, dasar & polisi universiti dan negara. Komuniti mahasiswa mahukan suara mereka sentiasa didengari serta peranan mereka sentiasa diiktiraf dan dihormati.

Aset Pelapis Kepimpinan Negara

7. Pluraliti agama,bangsa,budaya dan bahasa merupakan keunikan masyarakat di Malaysia, pelbagai cabaran yang harus ditangani dengan bijaksana dalam memimpin negara ini bagi memanfaatkan segala potensi yang ada agar  akhirnya kita mampu membina kekuatan dalam kepelbagaian demi manfaat dan kesejahteraan bersama. Barisan pemimpin pelapis yang berkualiti, berwibawa dan amanah amat diperlukan bagi memastikan negara ini terus bergerak maju membina ketamaduan dan peradaban bangsa.

antum a'lamu biumuri dunyakum, kamu lebih mengetahui dunia kemahasiswaan kamu”  

8. Berbalik kepada perbincangan topik pada kali ini, partisipasi mahasiswa dalam politik kepartian memerlukan satu bentuk model baru yang benar-benar menjelmakan watak, sikap dan pemikiran  sebenar kelompok cerdik pandai dalam mencorak budaya politik yang tersendiri. Budaya dan gaya politik mahasiswa perlulah berpaksikan kepada tiga paksi utama iaitu politik nilai,idea dan hujah yang menjadi prinsip asas dalam mencorakkan identiti yang tersendiri. Hal ini perlu didukung secara bersama oleh segenap warga mahasiswa tanpa mengira perbezaan jalur pemikiran/fikrah/idealisme. Persekitaran politik luar yang sarat dengan politik caci-mencaci,benci-membenci, fitnah-memfitnah sudah perlu digantikan dengan satu bentuk model politik baru yang lebih relevan dengan tuntutan dan perubahan zaman, dan hal ini sewajarnya dipelopori oleh warga mahasiswa. Gerakan tajdid siasah/perubahan politik negara perlu diterajui oleh kelompok mahasiswa kerana merekalah aset yang bakal mencorak/melakar lanskap politik pada masa hadapan, mahasiswa perlu berani mencabar kelaziman keluar daripada zon selasa dan status quo demi membangunkan negara bangsa Malaysia yang terbilang pada masa hadapan.

9. Perseteruan politik mahasiswa bukan untuk mencari kelemahan musuh tetapi persaingan untuk menjadi yang terbaik dalam kalangan yang terbaik, akhirnya budaya politik memusnah yang diwariskan sebelum ini dapat digantikan dengan model politik baru yang  lebih membina. Politik nilai dapat ditafsirkan dengan pembawaan politik oleh warga politikus yang penuh dengan nilai-nilai ketamadunan dan peradaban. Warga politikus sentiasa menjunjung tinggi nilai-nilai yang baik dalam segenap urusan politik mereka, memimpin dengan penuh rasa tanggungjawab, amanah, adil, dan telus. 

10. Mahasiswa perlu lebih kritikal dalam mengurus pelbagai konflik dan krisis yang berlaku dipersekitaran mereka. Politik idea diperlukan kerana setiap permasalahan yang berlaku memerlukan idea-idea baru yang lebih bernas serta pandangan,pendapat yang kritis dan kreatif dalam mengemukakan solusi dan penyelesaian yang terbaik bagi menghadapi kehidupan yang serba rencam masa kini.

   11. Politik hujah merupakan kaedah/mekanisme terbaik dalam usaha mendidik masyarakat agar bijak dalam membuat penilaian terhadap sesuatu perkara. Pertembungan idea yang berlaku antara pelbagai parti politik membenarkan masyarakat awam untuk menilai sesuatu perkara dengan lebih adil dan tepat tanpa wujud ekploitasi pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang mengepung/menyekat maklumat mahupun informasi seteru politik daripada tatapan umum. 

   12. Secara kesimpulan, warga mahasiswa serta anak muda perlu lebih kehadapan dalam usaha melakukan penambahbaikan sistem politik yang sedia ada, perseteruan politik hanyalah medan untuk kita bertarung bagi menawarkan khidmat bakti yang terbaik untuk  membangunkan masyarakat dan negara tercinta dan itulah titik temu dan persamaan antara kita semua.

Muhamad Fazli Bin Abd Halim
Mahasiswa Tahun Akhir (MTA)
Universiti Malaysia Pahang.


No comments:

Post a Comment