Monday, December 3, 2012

Di Ambang PRU-13: Universiti, Akademia & Mahasiswa

         1. Paluan gendang pilihanraya semakin rancak berkumandang, menandakan pilihanraya umum ke-13 semakin hampir berkunjung tiba. Segenap lapisan masyarakat berbicara soal politik arus perdana dan masa depan negara masa hadapan, daripada penganalis politik yang ghairah memberikan pandangan,pendapat, kritikan dengan membawakan pelbagai analisa kajian lapangan mereka sehingga kepada semua ahli korporat,teknokrat, akedemia, agamawan, usahawan,petani,nelayan,penjawat awam dan sebagainya.Semua pihak mahu mengambil peluang dan ruang untuk memberi pandangan, komentar, ulasan berdasarkan kecenderungan politik mereka, daripada mereka yang berilmu, arif & berautoriti tentang selok belok politik sehingga mereka yang jahil politik. Hal tersebut menandakan kesedaran politik & tahap kepedulian yang berkembang baik dalam kalangan masyarakat awam di Malaysia walaupun wujud kelompok  manusia yang jelik dan pesimis terhadap hal-ehwal politik semasa dalam negara.

2. Di ambang Pilihanraya Umum Ke-13, apakah peranan & sumbangan semasa dan mendatang, Universiti, Mahasiswa & Akademia terhadap persekitaran politik yang serba rencam mutakhir ini. Pandangan kelompok politikus cukup dominan sehingga pandangan mereka sahaja yang seringkali dicoret,dihebahkan disegenap medium/platform informasi awam. Pandangan mereka yang dilihat sakral membentuk pemikiran dan persepsi masyarakat awam walaupun wujud penyelewengan fakta/maklumat yang diutarakan. Sudah tiba masanya universiti, kumpulan akademia dan mahasiswa mengimbagi ekosistem politik masa kini.

3. Secara umum,universiti merupakan sebuah institusi pengajian tinggi untuk menimba ilmu. Universiti Malaya merupakan universiti tertua yang wujud di Malaysia diikuti dengan kewujudan pelbagai IPTA mahupun IPTS yang berkembang pesat dari semasa ke semasa.Namun dalam keghairahan kewujudan universiti tersebut sudah tiba masanya untuk kita melihat kembali apakah fungsi,peranan dan tanggungjawab sebenar kewujudan sesebuah universiti.     

4. Impian semua adalah untuk menjadikan universiti kita ulung (Saifuddin Abdullah). Adakah universiti semata-mata menjadi ulung kerana memenangi banyak pingat emas pertandingan antarabangsa? Ataupun sudah cukup memadai dengan hanya berlumba-lumba mendapatkan rangking yang baik saban tahun. Hakikat yang perlu disedari bahawa universiti juga mempunyai tanggungjawab sosial yang cukup besar dalam bersama-sama membina negara bangsa Malaysia yang lebih baik pada masa hadapan.

5. Tetapi hasrat murni tersebut tidak mungkin mampu direalisasikan selagi mana universiti tempatan terus dicengkam oleh pihak-pihak yang berkepentingan.Universiti sewajarnya menjadi sebuah institusi yang bebas daripada segala keterikatan dan campur tangan politik. Universiti mesti diberikan kuasa autonomi dan ditadbir urus dengan penuh ketelusan mengikut acuan mereka sendiri.Institusi ini mesti tampil sebagai pusat penyelesai kepada segala permasalahan masyarakat, pencetus idea baru dan menjadi pusat rujukan utama dalam segala keperihalan berkaitan masyarakat bersesuaian dengan pengiktirafan masyarakat awam yang memandang universiti sebagai sebuah institusi sosial yang terulung.

 6. Universiti perlu memikirkan apakah sumbangan mereka kepada seluruh masyarakat dan negara dalam konteks yang lebih luas dan menyeluruh.Tembok di antara universiti dan masyarakat perlu dipecahkan dimana mahasiswa dan tenaga akademia berperanan menguasai ilmu di universiti dan kemudiannya mengekstrak keilmuan tersebut dalam bahasa yang mudah difahami untuk tatapan masyarakat awam, supaya masyarakat menjadi lebih celik dan tidak ketinggalan mendepani cabaran semasa. Sudah tiba masanya peranan dan tanggungjawab universiti tempatan dilihat kembali agar institusi ini terus relevan sebagai institusi perkembangan keilmuan kearah pembinaan ketamadunan & peradaban bangsa pada masa hadapan.

7.  Dewasa ini universiti begitu obses memikirkan soal kemampuan graduan mereka memenuhi kehendak pasaran kerja. Natijahnya lahirlah manusia-manusia robot yang direkrut hanya dengan tujuan untuk memenuhi pasaran kerja. Saya tidak berhasrat untuk meletakkan bahawa segala permasalahan yang timbul dituding kepada sistem pendidikan semata-mata, walaupun sistem mahupun mahasiswa sendiri menyumbang kepada hal tersebut. Tetapi hakikatnya punca permasalahan utama adalah datang daripada sistem/bagaimana sesebuah universiti itu beroperasi & diuruskan.

8. Kesimpulannya, sebagai seorang penuntut & pencinta ilmu saya amat mendambakan sebuah universiti yang benar-benar memainkan peranan/fungsi sebagai pusat keilmuan yang bukan hanya mendidik masyarakat kampus dengan ilmu tetapi memainkan peranan mendidik/mentarbiyah masyarakat awam/ummat dengan ilmu. Universiti bertanggungjawab menggempur kejahilan masyarakat/ummat agar hidup dengan cahaya keilmuan, usah mengepung cerdik pandai ummat dengan hanya duduk makan gaji untuk memikirkan untung nasib/kesenangan diri sendiri tetapi bebaskanlah mereka untuk bekerja bersungguh/komited untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat melihat kepada kemampuan/kebolehan/potensi yang mereka miliki. Warga kampus samada mahasiswa, tenaga akademik sewajarnya menjadi pusat rujukan masyarakat dengan menjadikan ilmu yang dimiliki sebagai tiket untuk mereka memberi sebarang pandangan mahupun pendapat yang dilihat bebas tanpa wujud sebarang kecenderungan untuk mempertahankan mana-mana kumpulan/pihak yang berkepentingan. Semoga Universiti kita terus berjaya untuk merekrut/mencetak bakal-bakal graduan untuk memenuhi setiap sektor pekerjaan & mampu untuk memimpin masyarakat/ummat yang bersedia untuk menyumbang kepada agama, nusa & bangsa.


 
Muhamad Fazli Bin Abd Halim
Mahasiswa Tahun Akhir (MTA)
Universiti Malaysia Pahang




No comments:

Post a Comment