Wednesday, October 17, 2012

Gerakan Mahasiswa, Pengurusan Organisasi & Hala Tuju Masa Hadapan

  1. Penulisan saya pada kali ini adalah berkisar kepada ketidakseimbangan dalam sesebuah gerakan mahasiswa. Saya klasifikasikan gerakan mahasiswa sebagai apa-apa sahaja gerakan/entiti yang diterajui oleh mahasiswa seperti Majlis Perwakilan Pelajar/Majlis Perwakilan Mahasiswa, persatuan-persatuan pelajar, NGO-NGO mahasiswa dan sebagainya. Penulisan ini adalah berpandukan kepada pengalaman saya ketika berada dalam gerakan mahasiswa yang telah saya lalui suatu ketika dahulu. Bukanlah penulisan ini bertujuan untuk bermegah diri dengan ilmu gerakan mahasiswa, namun hanya berkongsi ilmu dan juga kesilapan diri yang telah dilalui.Beberapa tahun dalam memimpin gerakan mahasiswa. Saya telah dapat membuat beberapa kesimpulan yang hendak saya kupas dalam penulisan ini. Sudah semestinya, pengalaman dan juga pemerhatian saya mungkin akan berbeza dengan pemimpin gerakan mahasiswa yang lain. Namun, ilmu dan juga pengalaman ini sedikit sebanyak  dapat memberi buah fikiran kepada sesiapa yang ingin memimpin sesebuah gerakan mahasiswa.

  1. Sesebuah gerakan mahasiswa selalunya mempunyai matlamat/hala tuju serta manhaj yang tersendiri.Justeru, kita tidak wajar untuk menafikan perjuangan sesebuah gerakan mahasiswa kerana masing-masing mempunyai idealisme/fikrah/jalur pemikiran yang tersendiri. Namun kebanyakan gerakan mahasiswa yang 'kecundang' akibat daripada ketidakseimbangan teknikaliti/ilmu pengurusan dalam gerakan mereka. 'Kecundang' itu merujuk kepada gerakan yang mempunyai masalah dalaman yang meruncing, gerakan yang tidak bergerak kehadapan, gerakan yang tidak nampak menyumbang, dan sebagainya. Gerakan yang 'kecundang' mempunyai sebab musababnya yang tersendiri. Namun apa yang hendak saya kupas adalah daripada sudut pandang ketidakseimbangan komposisi dan fahaman tugasan dalam mengurus sesebuah organisasi gerakan mahasiswa.

  1. Sering kali gerakan mahasiswa dibelenggu dengan permasalahan dalaman. Sebagai contoh, pergaduhan/perselisihan pandangan/pendapat sesama ahli gerakan. Si A kata si B tidak buat kerja, si C kata si D banyak cakap tapi kerja tidak buat. Si E pula kata "aku je yang buat kerja dalam projek ini". Lama-kelamaan pelbagai konflik yang berlaku dan akhirnya memungkinkan krisis yang lebih dahsyat melanda sesama ahli sesebuah gerakan tersebut. Keindahan dan keseronokan dalam gerakan akan bertukar menjadi mimpi ngeri dan sengsara yang berpanjangan bilamana persamalahan yang timbul tidak diurus dengan baik oleh pihak yang berautoriti yakni barisan pimpinan gerakan tersebut. Demikian episod/babak pencetus kepada kejatuhan/keruntuhan dalam gerakan mahasiswa yang berlaku diperingkat dalaman.

  1. Satu lagi kecundangan yang menghantui kebanyakan gerakan mahasiswa adalah gerakan mereka tidak terkehadapan dan tidak dilihat berfungsi/berperanan sebagaimana yang sepatutnya serta tidak responsif terhadap isu-isu semasa yang berlegar disekeliling mereka. Tidak terkehadapan ini dapat ditafsirkan dengan pembawaan/mekanisme gerakan yang tidak mempunyai perubahan dalam menyesuaikan entiti mereka dengan memahami secara mendalam suasana masyarakat yang  sentiasa berubah-ubah. Dalam erti kata mudah, gerakan ini masih menggunakan pembawaan/metodologi/mekanisme yang konvensional/statik/primitif/kaku/layu, program tahunan yang sama(program yang gagal menarik minat komuniti mahasiswa akibat gagal memahami rentak kehendak/keperluan semasa mereka) atau strategi yang lapuk sehingga mengakibatkan mahasiswa tidak berminat/cenderung untuk bergiat/berpartisipasi secara aktif dengan gerakan mereka.

  1. Akar kepada permasalahan yang berlaku adalah akibat ketidakseimbanagan posisi dan juga pemahaman posisi sesorang individu dalam sesebuah gerakan. Dalam gerakan mahasiswa yang ideal, perlu ada tiga posisi yang menjadi asas kepada sesebuah organisasi gerakan, yakni Stategist, Manager, dan Worker. Posisi Strategist ini selalunya akan diambil oleh mereka yang banyak berfikir dan boleh menjangkau idea-idea yang bersifat futuristik kepada gerakan. Dalam erti kata lain, mereka yang bergelar strategist ini akan mempunyai idea-idea bernas untuk dikongsikan dalam gerakan. Selalunya, mereka yang bergelar strategist  juga akan banyak memberikan penyelesaian-penyelesaian kepada permasalahan yang berlaku, mereka juga nampak peluang-peluang yang baik untuk memajukan gerakan dan sebagainya. Namun, ketidakseimbangan dan kecundangan akan berlaku jika semua orang dalam gerakan mahu menjadi Strategist. Dimana semua orang dalam gerakan hanya boleh memberikan pandangan dan idea sahaja namun tidak mampu untuk melaksanakan idea-idea itu. Lagi menyedihkan jika keseluruhan masa hanya tertumpu untuk berbahas dan bergaduh tentang idea-idea sahaja. Tetapi jika tidak ada posisi Strategist maka gerakan mahasiswa akan mundur dan tidak mampu mengharungi perubahan-perubahan sekeliling yang memerlukan pembaharuan.

  1. Mereka yang bergelar Worker adalah mereka yang bekerja untuk melaksanakan idea-idea yang diberikan oleh Strategist. Selalunya Worker adalah mahasiswa yang hanya menerima arahan dan mereka akan laksanakan arahan itu dengan sebaiknya. Mereka ini adalah golongan yang sangat berdisipin dalam menyiapkan sesuatu urusan. Namun, mereka ini adalah golongan yang tidak memikirkan sangat idea-idea futuristik. Apa yang mereka tahu, mereka akan menyiapkan kerja/tugasan yang diberikan kepada mereka. Gerakan mahasiswa tidak akan berkembang dan maju apabila semua orang dalam gerakan adalah Worker. Hal ini terjadi kerana tidak ada idea-idea baru yang hendak diimplimentasikan dan apabila ada masalah, kurang penyelesaian akan dicapai.

  1. Mereka yang bergelar Manager, adalah mereka yang boleh menguruskan gerakan. Contohnya urusan surat menyurat gerakan, susun atur jadual program gerakan, urus tadbir gerakan dan sebagainya. Manager adalah mereka yang boleh memastikan gerakan tidak kucar dan sentiasa berada dalam keadaan terurus.

  1. Ketiga-tiga posisi ini perlu berada dalam keseimbangan dan setiap ahli gerakan mahasiswa perlu memahami posisi-posisi berkenaan. Kecundangan gerakan mahasiswa yang paling utama adalah akibat daripada tidak ada pemahaman dan juga kesefahaman antara ahli gerakan. Semoga tulisan ini dapat memberi faedah kepada mereka yang sedang dan akan mengemudi gerakan mahasiswa.

No comments:

Post a Comment