Wednesday, September 19, 2012

Pilihanraya Kampus UMP 2012: Demokrasi Kampus Terus Terancam



1.  Saya cukup terpanggil untuk mencoretkan beberapa perkara yang pada perkiraan saya cukup membimbangkan dan merisaukan saya apabila memikirkan masa depan demokrasi kampus di Universiti Malaysia Pahang yang dicintai ini, mana mungkin saya sanggup untuk membenarkan demokrasi kampus di UMP terus dirobek/dicemari yang akhirnya akan merugikan mahasiswa secara keseluruhannya.

2. Berbekalkan pengalaman yang telah saya lalui, menjadi satu kewajipan kepada saya untuk terus memberi sumbangsaran dalam usaha untuk mengerakkan agenda menghakupayakan kepimpinan mahasiswa serta memelihara kredibiliti/kewibawaan Majlis Perwakilan Pelajar sebagai sebuah badan/entiti mahasiswa yang tertinggi agar terus dihormati & benar-benar berfungsi sebagai badan yang benar-benar mewakili suara & menjunjung tinggi aspirasi mahasiswa.

3. Apabila terbaca satu entry daripada E-comm yang bertajuk ‘PEMILIHAN MPP UMP : SENARAI NAMA PELAJAR YANG LAYAK DICALONKAN & MAKLUMAT PENTING BERKAITAN PENAMAAN CALON’ saya tertarik untuk mengetahui secara lebih lanjut apakah sebenarnya maklumat yang ingin disampaikan. Selepas meneliti secara lebih lanjut, ada beberapa perkara yang menjadi kekeliruan & kebimbingan saya. Untuk makluman teman-teman mahasiswa/i sekalian buat pertama kalinya dalam sejarah PRK UMP senarai calon-calon yang layak untuk bertanding dikeluarkan sebelum hari pencalonan dijalankan.

4. Wujud satu pembaharuan dalam PRK UMP bagi sesi kali ini sepertimana yang dicatatkan dalam entry tersebut, antara petikan yang boleh saya kongsikan adalah seperti berikut:

Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP UMP sesi 2012/2013 menetapkan bahawa pelajar berdaftar Universiti dan telah memasuki peperiksaan yang pertama dan tidak pernah diambil tindakan tatatertib serta telah menghadiri Kursus Kepimpinan Bakal Calon MPP adalah LAYAK dipilih sebagai ahli Majlis Perwakilan Pelajar”

5.  Perkara yang ingin saya fokuskan disini adalah berkaitan satu peraturan baru yang ditetapkan oleh pihak Jawatankuasa yang menetapkan bahawa menjadi satu perkara yang WAJIB  kepada sesiapa yang berhasrat untuk bertanding hadir ke Kursus Kepimpinan Bakal Calon MPP, hal ini merupakan satu peraturan baru yang ditetapkan bagi sesi PRK kali ini, untuk makluman mahasiswa/i sekalian tiada sebarang bentuk perbincangan/konsultasi yang dilakukan bersama kami (MPP Sesi 2011/2012)  sebelum perkara ini diimplementasi/dikuatkuasakan. Pada perkiraan saya perkara yang sebegini penting yang melibatkan kepentingan mahasiswa tidak sepatutnya dilakukan secara bersendirian tanpa melibatkan wakil suara mahasiswa.

6. Kebiasaannya pengalaman-pengalaman yang lepas memperlihatkan satu keadaan yang mana kurangnya partisapasi mahasiswa untuk melibatkan diri dalam pemilihan MPP, buktinya sekadar memberikan satu contoh, pada sesi yang lepas terdapat dua calon yang menang tanpa bertanding yang kedua-duanya merupakan kerusi fakulti dari fakulti Kejuruteraan Pembuatan, dan berdasarkan senarai nama yang dikeluarkan saya mendapati tiada seorang calon pun datang daripada fakulti Kejuruteraan Pembuatan bagi sesi kali ini, kalau melihat kepada peraturan yang telah dikuatkuasakan maka bereerti akan ada kekosongan dua kerusi diperingkat kerusi fakulti Kejuruteraan Pembuatan, sekiranya hal ini yang berlaku maka rumusan mudahnya bererti tiada wakil suara mahasiswa daripada fakulti pembuatan yang akan berada dalam kabinet MPP bagi sesi akan datang.

7. Saya tidak mempertikaikan kebaikan/usaha yang dilakukan untuk memberi persediaan awal melalui inisiatif mengadakan bengkel khas buat bakal-bakal calon yang berhasrat untuk bertanding, tetapi secara peribadi saya berpandangan adalah lebih baik kehadiran ke bengkel tersebut hanya sekadar satu pilihan kepada bakal-bakal calon dan bukan satu kewajipan untuk dihadiri.
8. Secara kesimpulannya, saya dapat merasakan bahawa sekirannya peraturan sedemikian terus dilaksananakan, hal tersebut hanya menambahkan kerenah birokrasi yang benar-benar melelahkan & menyusahkan mahasiswa dan implikasi yang berlaku adalah mahasiswa akan terus tidak berminat untuk melibatkan diri dalam pemilihan MPP dan akhirnya kurang persaingan antara calon yang bertanding, akibatnya kualiti pemimpin yang dipilih semakin berkurangan & calon yang terpilih sebagai MPP bukanlah benar-benar mewakili suara  & menjunjung tinggi aspirasi kebanyakan mahasiswa. Sekian

Muhamad Fazli Bin Abd Halim
Aktivis Mahasiswa UMP

No comments:

Post a Comment