Tuesday, September 18, 2012

Aku, UMP & Siti Nurhaliza


1. Ramai sahabat  mahupun teman-teman mahasiswa UMP meminta saya merespons isu kehadiran Dato' Siti Nurhaliza ke kampus pada hari ini.

2. Pertama suka untuk saya melihat/mengkaji terlebih dahulu tujuan kehadiran beliau ke kampus sebelum memberi sebarang respons balas berkaitan perkara ini, agar saya berlaku adil dalam memberikan sebarang pandangan/pendapat.

3. Secara peribadi saya merasakan bahawa kehadiran beliau ke UMP atas kapasiti/tujuan untuk memberi motivasi dilihat agak tidak sesuai dengan latar belakang beliau yang merupakan seorang artis yang menceburkan diri/arif dalam bidang seni suara tanah air.

4. Pada perkiraan saya ramai lagi tokoh-tokoh ilmuan yang boleh ditampilkan untuk memenuhi objektif/matlamat program tersebut, seperti Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Dr Zaharuddin Abd Rahman, Dato' Dr Mohd Fadzilah Kamsah ,Dr. Mohd Shukri Abdullah sekadar mencadangkan beberapa nama yang pada perkiraan saya lihat lebih arif & ahli dalam bidang tersebut dengan latar belakang akademik mereka yang jauh lebih baik sewajarnya hujah/pandangan mereka dijadikan pedoman serta mempunyai kredibiliti untuk dijadikan ikon/tokoh sanjungan kepada seluruh mahasiswa/i sekalian.

5. Pendirian saya dalam soal hiburan, secara peribadi saya bukanlah insan yang anti-hiburan, untuk makluman saya antara golongan insan yang mempunyai minat/kecenderungan kepada bidang seni muzik dan perkara yang menyentuh soal kesenian & kebudayaan. Secara jujur saya mempunyai pengalaman tersendiri dalam menceburkan diri dalam aktiviti kesenian mahupun kebudayaan, saya pernah terlibat secara langsung dengan pertandingan pantun, deklamasi sajak, persembahan dikir barat, pementasan teater,kompang, pidato, debat, nasyid dsb. Namun soalnya hiburan yang bagaimana yang kita mahukan tanpa mengabaikan perkara yang dianjurkan oleh agama serta tidak bercanggah dengan imej/prinsip kita sebagai seorang yang bergelar MAHASISWA universiti?

6. Saya suka untuk menyampaikan hujah dalam kerangka/kapasiti saya sebagai seorang penuntut ilmu di universiti dan sisi pandang sebagai pimpinan mahasiswa, pertamanya saya ingin tegaskan disini bahawa universiti merupakan medan untuk menimba ilmu & dalam masa yang sama medan untuk mahasiswa/i universiti mempraktiskan ilmu yang dipelajari, seperti mana yang sering kali saya perkatakan, bahawa universiti merupakan medan yang mana mahasiswa sewajarnya berani untuk melakukan kesilapan, kerana hal tersebut merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran. Zaman mahasiswa adalah zaman yang kaya/penuh dengan idealisme, jangan sekali-kali hidup bergelar mahasiswa dipersiakan tanpa digilap, dicorak & diurus dengan baik.

7.  Budaya hedonisme/ budaya hiburan melampau yang membelenggu kebanyakkan muda-muda tempatan pada masa kini tidak wajar disuburkan didalam gedung ilmuan ini. Sekirannya hal tersebut juga sudah merebak/membarah dan dibudayakan didalam medan ilmu ini maka itu adalah sebahagian daripada usaha mencemarkan kesucian institusi keilmuan. Maka pada ketika itu universiti akan terus hilang kredibiliti/kewibawaan di mata masyrakat untuk melahirkan modal-modal insan yang berkualiti bukan hanya dari aspek akademik, tetapi diperkukuhkan dengan keperibadian yang unggul yang benar-benar mampu memberi manfaat kepada masyarakat/ummat. Saya meraikan sebarang perbezaan pandangan/mahupun pendapat, setiap daripada kita mempunyai citarasa/kemahuan/kecenderungan yang berbeza dan itulah bukti tentang kehebatan ALLAH SWT yang MAHA HEBAT & MAHA BIJAKSANA. Pada perkiraan saya sudah cukup daripada tahap memadai aktiviti/program hiburan yang telah dianjurkan di luar lingkungan kampus. Setakat ini tidak pernah ada satu peraturan yang jelas melarang/menyekat mahasiswa/i menyertai program-program sebegitu (saya tidak berkata bahawa saya mengalakkan tetapi hal itu terpulang kepada diri kita sendiri, pilihan ditangan kita, kita mampu menilai baik buruk sesuatu perkara). Tetapi cukup malang pada perkiraan saya apabila dunia akademia/dunia universiti ini juga terus dihidupkan dengan perkara yang sama seperti apa yang berlaku diluar dunia kehidupan universiti. Hal ini perlu dipertahankan/didukung oleh semua mahasiswa agar kesucian medan ilmu ini terus terpelihara daripada unsur-unsur yang tidak baik/bermanfaat. Tidak menjadi masalah untuk kita berhibur tetapi biarlah hiburan itu merupakan hiburan yang benar-benar mendidik jiwa kita yang terkandung didalamnya nilai-nilai serta unsur-unsur seperti nilai kemanusian, ketuhanan,nasihat dsb.

7. Secara hakikatnya, universiti berfungsi dengan tujuan untuk mendidik manusia menjadi manusia yang berilmu bertepatan dengan agenda untuk memanusiakan manusia. Tetapi soalnya pada masa kini sejauh mana budaya ilmu ini diterapkan/dihidupkan/disuburkan di dalam kampus kita, antara perkara yang malang pada perkiraan saya pada masa kini adalah mati/hilangnya fungsi/peranan universiti untuk membina masyarakat yang berilmu, bukan hanya gagal melahirkan masyarakat setempat yang berilmu tetapi gagal merencanakan agenda memasyarakat ilmu didalam komuniti kampus. Bukan tiada usaha yang digerakkan diperingkat mahasiswa tetapi kerenah birokrasi yang pelbagai yang dilihat begitu selektif dalam memilih isu yang ingin diwacanakan, menjadikan mahasiswa jelik dan bosan dengan sikap yang dipamerkan. Tindakan sedemikian rupa hanya mematikan idealisme mahasiswa yang akhirnya merugikan banyak pihak.

8. Kewujudan sesebuah universiti pada masa kini lebih dilihat hanya sebagai salah satu janji politik sesebuah parti politik atas tujuan untuk membangunkan sosio-ekonomi masyarakat. Terbina sesebuah universiti di sesebuah kawasan/tempat hanya bertujuan untuk menarik pelabur untuk membangunkan sesebuah kawasan tersebut. Begitulah nasib malang universiti kita yang terus menjadi bahan dagangan pihak-pihak yang berkepentingan & tidak bertanggungjawab.

9. Hari ini universiti begitu obses memikirkan soal kemampuan graduan mereka memenuhi kehendak pasaran kerja. Natijahnya lahirlah manusia-manusia robot yang direkrut hanya dengan tujuan untuk memenuhi pasaran kerja. Saya tidak berhasrat untuk meletakkan bahawa segala permasalahan yang timbul diletakkan kepada sistem pendidikan semata-mata, walaupun sistem mahupun mahasiswa sendiri menyumbang kepada hal tersebut. Tetapi hakikatnya punca permasalahan utama adalah datang daripada sistem/bagaimana sesebuah universiti itu beroperasi & diuruskan.

10. Sebagai kesimpulan, sebagai seorang penuntut & pencinta ilmu saya amat mendambakan sebuah universiti khususnya Univesiti Malaysia Pahang agar benar-benar memainkan peranan sebagai pusat keilmuan yang bukan hanya mendidik masyarakat kampus dengan ilmu tetapi memainkan peranan mendidik/mentarbiyah masyarakat awam/ummat dengan ilmu. Universiti bertanggungjawab menggempur kejahilan masyarakat/ummat agar hidup dengan cahaya keilmuan, usah mengepung cerdik pandai ummat dengan hanya duduk makan gaji untuk memikirkan untung nasib/kesenangan diri sendiri tetapi bekerja bersungguh/komited untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat melihat kepada kemampuan/kebolehan tersendiri. Warga kampus samada mahasiswa, tenaga akademik sewajarnya menjadi pusat rujukan masyarakat dengan menjadikan ilmu yang dimiliki sebagai tiket untuk mereka memberi sebarang pandangan mahupun pendapat yang dilihat bebas tanpa wujud sebarang kecenderungan untuk mempertahankan mana-mana kumpulan/pihak yang berkepentingan. Semoga Universiti ini terus berjaya untuk merekrut/mencetak bakal-bakal graduan untuk memenuhi setiap sektor pekerjaan & mampu untuk memimpin masyarakat/ummat yang bersedia untuk menyumbang kepada agama, nusa & bangsa.

Muhamad Fazli Bin Abd Halim
Aktivis Mahasiswa UMP


No comments:

Post a Comment