Monday, December 31, 2012

2013: Harapan & Perubahan





“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang ada pada diri mereka ”. QS Ar-Ra'd:11

       
        Himpunan catatan peristiwa yang berlaku sepanjang detik 2012 bakal di ‘khatam’kan menjadi lebaran-lebaran sejarah sebagai tatapan buat generasi hadapan. Permulaan pengembaraan hidup dipersimpangan jalan 2013 menambah keghairahan manusia berlumba-lumba bersaing demi menjamin kelangsungan hidup serta memenuhi keperluan dan tuntutan fitrah hidup mereka dalam persekitaran kehidupan yang serba-mencabar.

‘Realiti hari ini adalah impian-impian kelmarin, impian-impian hari ini adalah kenyataan hari esok’

KH Rahmat Abdullah

      2013 menjadi detik keramat penantian seluruh rakyat Malaysia yang mendambakan kehidupan yang lebih adil dan baik dalam segenap penjuru kehidupan bermasyarakat dan bernegara pada masa hadapan. Negara semakin maju dalam soal pembangunan fizikal namun negara semakin mundur dan miskin dalam soal pembangunan insaniah dan moral masyarakat.Pertembungan antara 'Dunia Idea' dan 'Dunia Benda' menjadi polemik panjang dalam soal pembinaan peradaban & ketamadunan manusia (Malek Bennabi). Dunia idea yang ditafsirkan disini adalah penekanan soal pembangunan akal yg menjadi kunci menggerakkan kesedaran awam agar partisipasi secara aktif dan agresif dalam usaha pembangunan & pembinaan negara mampu dijalankan secara kolektif dengan meletakkan peranan mahupun fungsi agama sebagai pemangkin utama. Realiti hari ini, kebanyakan negara-negara dunia ketiga, berlumba-lumba mendirikan tugu-tugu fizikal kemajuan sedangkan pengisian peradaban itu sendiri tidak wujud; sebagaimana apa yang sedang berlaku di negara kita hari ini.

Masalah Penjajahan dan Keterjajahan

          Perjuangan kemerdekaan sebenarnya tidak berakhir dengan mengenyahkan penjajah daripada bumi pertiwi. Dunia masih belum cukup aman dari bahaya penjajahan. Sementara usaha rebuilding, pemulihan daripada kerosakan-kerosakan yang berlanjutan ratusan tahun selama era penjajahan masih belum diselesaikan secara tuntas, kini kita dihadapkan pula dengan bahaya jebakan penjajahan bentuk baru: penjajahan budaya, penjajahan ekonomi,penjajahan pemikiran ,ancaman globalisasi dan sebagainya.

Era Pasca-Merdeka

          Kemerdekaan yang telah dicapai adalah kurniaan Ilahi yang harus disyukuri dan dipelihara dengan penuh rasa amanah dan tanggungjawab. Kegagalan mewaspadai gejala-gejala tersebut akan sekali lagi menjerumuskan kita dalam jebak penjajahan. Dalam hal ini, perlunya pengajaran dan pemahaman daripada catatan sejarah bagaimana sesuatu bangsa boleh terjajah. Sebagaimana yang disebut oleh Malik Bennabi, penjajahan berlaku bukan hanya disebabkan oleh kerakusan dan kebuasan penjajah, tetapi lebih disebabkan oleh kerosakan dalaman masyarakat peribumi; iaitu masalah-masalah jiwa,minda dan budaya masyarakat yang menggamit,merangsang dan membuka ruang kepada penjajahan.

Di atas runtuhan Kota Melaka,
Kita bangunkan jiwa merdeka,
Bersatu-padulah seluruh baka,
Membela hak keadilan pusaka.

Demikianlah ungkapan puitis oleh Dr. Burhanuddin al-Helmi yang menggariskan hakikat agenda perjuangan bangsa. Gagasan tersebut meletakkan perjuangan membangun jiwa merdeka sebagai agenda utama dan diikuti dengan agenda perpaduan bangsa dalam perjuangan mendaulatkan prinsip keadilan termasuk mengembalikan dan memelihara hak ketuanan bangsa. Justeru, hanya manusia berjiwa merdeka yang mengetahui hak-haknya dan sanggup berjuang bermati-matian demi mempertahankannya.

Realiti Masyarakat Masa Kini

          Antara permasalahan paling mendasar dalam kalangan masyarakat anak jajahan ialah masalah jiwa hamba: jiwa yang lemah, penakut,tidak merasa punya maruah dan kehormatan, rela dihina, mudah menyerah, hilang daya juang, tak punya daya tahan, tidak percaya diri, tidak mempunyai wawasan, tidak memiliki cita-cita tinggi, tidak mampu berfikir kritis dan sebagainya. Malik Bennabi menyebut bahawa perjuangan membebaskan tanah air harus segera disusuli dengan perjuangan memerdekakan minda, apalah erti dan nilai kemerdekaan bumi pertiwi andai rakyat peribuminya masih tetap berminda anak jajahan. Sebuah negara yang merdeka amat memerlukan kaum cendekiawan model baru yang berjiwa merdeka, berminda terbuka, berfikiran kritis, objektif, mengakar dalam tradisi keilmuan, menghadirkan diri dalam lapangan masyarakat yang bertindak sebagai pemangkin perubahan.

          Jika penjajahan lebih berupa perompakan harta kekayaan sesuatu bangsa, perhambaan pula lebih berupa penguasaan terhadap diri sesuatu golongan. Itulah sebenarnya hakikat disebalik istilah penjajahan budaya yang berintikan penguasaan minda. Apabila minda telah dikuasai, maka segala gerak tindak dan arah langkahnya ditentukan sepenuhnya oleh orang lain. Jika pada zaman tradisi perhambaan diertikan sebagai pemerasan tenaga fizikal seseorang demi kepentingan tuannya, manakala pada zaman perhambaan moden ini yang diperas adalah otak. Jika sasaran perhambaan fizikal adalah orang awam- buruh,petani dan yang sejenis dengannya, sasaran penjajahan mental adalah golongan elit- cendekiawan,ilmuan, mahasiswa dan pemimpin masyarakat yang menerusi merekalah nantinya seluruh bangsa dikuasai.

Sekali mara terus mara,
Daripada hidup ber'tuah' pada kebatilan,
Mahupun men'jebat' pada membabi buta,
Biar berjuang untuk kebenaran !!

(Raja Ahmad Aminullah, 1975, Kumpulan Sajak Menyarung Jiwa)

Tanamlah gagasan, petiklah tindakan. Tanamlah tindakan, petiklah kebiasaan. Tanamlah kebiasaan, petiklah watak. Tanamlah watak, petiklah nasib. Dimulai dari gagasan yang diwujudkan dalam tindakan, kemudian tindakan yang dilakukan berulang-ulang akan menjadi suatu kebiasaan. Kebiasaan yang dilakukan berkali-kali akan menjelma menjadi watak, dan watak inilah yang akhirnya berubah kepada nasib. Jadi nasib kita, kita sendirilah yang menentukannya. Nasib kita ada di tangan kita.

          Akhir kata, tiada istilah terlewat dalam melakukan perubahan, berubahlah kearah kebaikan.Perubahan berlaku bilamana kita berani mencabar kelaziman, keluar dari lingkaran kepompong zon keselesaan. Saya pilih undi ! Anak muda pemangkin perubahan! Berubahlah sebelum anda diubah !

 
2013: Harapan & Perubahan !



Muhamad Fazli Bin Abd Halim
Mahasiswa Tahun Akhir (MTA)
Universiti Malaysia Pahang

No comments:

Post a Comment