“Sesungguhnya
Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang
mengubah apa apa yang ada pada diri mereka ”. QS Ar-Ra'd:11
Himpunan catatan
peristiwa yang berlaku sepanjang detik 2012 bakal di ‘khatam’kan menjadi
lebaran-lebaran sejarah sebagai tatapan buat generasi hadapan. Permulaan pengembaraan
hidup dipersimpangan jalan 2013 menambah keghairahan manusia berlumba-lumba
bersaing demi menjamin kelangsungan hidup serta memenuhi keperluan dan tuntutan
fitrah hidup mereka dalam persekitaran kehidupan yang serba-mencabar.
‘Realiti
hari ini adalah impian-impian kelmarin, impian-impian hari ini adalah kenyataan
hari esok’
KH Rahmat
Abdullah
2013 menjadi detik keramat penantian seluruh
rakyat Malaysia yang mendambakan kehidupan yang lebih adil dan baik dalam
segenap penjuru kehidupan bermasyarakat dan bernegara pada masa hadapan. Negara
semakin maju dalam soal pembangunan fizikal namun negara semakin mundur dan miskin dalam
soal pembangunan insaniah dan moral masyarakat.Pertembungan antara 'Dunia Idea' dan 'Dunia Benda'
menjadi polemik panjang dalam soal pembinaan peradaban & ketamadunan
manusia (Malek Bennabi). Dunia idea yang
ditafsirkan disini adalah penekanan soal pembangunan akal yg menjadi kunci menggerakkan
kesedaran awam agar partisipasi secara aktif dan agresif dalam usaha pembangunan
& pembinaan negara mampu dijalankan secara kolektif dengan meletakkan
peranan mahupun fungsi agama sebagai pemangkin utama. Realiti hari ini, kebanyakan negara-negara dunia ketiga,
berlumba-lumba mendirikan tugu-tugu fizikal kemajuan sedangkan pengisian
peradaban itu sendiri tidak wujud; sebagaimana apa yang sedang berlaku di
negara kita hari ini.
Masalah
Penjajahan dan Keterjajahan
Perjuangan kemerdekaan sebenarnya tidak
berakhir dengan mengenyahkan penjajah daripada bumi pertiwi. Dunia masih belum
cukup aman dari bahaya penjajahan. Sementara usaha rebuilding, pemulihan
daripada kerosakan-kerosakan yang berlanjutan ratusan tahun selama era
penjajahan masih belum diselesaikan secara tuntas, kini kita dihadapkan pula
dengan bahaya jebakan penjajahan bentuk baru: penjajahan budaya, penjajahan
ekonomi,penjajahan pemikiran ,ancaman globalisasi dan sebagainya.
Era
Pasca-Merdeka
Kemerdekaan yang telah dicapai adalah
kurniaan Ilahi yang harus disyukuri dan dipelihara dengan penuh rasa amanah dan
tanggungjawab. Kegagalan mewaspadai gejala-gejala tersebut akan sekali lagi
menjerumuskan kita dalam jebak penjajahan. Dalam hal ini, perlunya pengajaran
dan pemahaman daripada catatan sejarah bagaimana sesuatu bangsa boleh terjajah.
Sebagaimana yang disebut oleh Malik Bennabi, penjajahan berlaku bukan hanya
disebabkan oleh kerakusan dan kebuasan penjajah, tetapi lebih disebabkan oleh
kerosakan dalaman masyarakat peribumi; iaitu masalah-masalah jiwa,minda dan
budaya masyarakat yang menggamit,merangsang dan membuka ruang kepada
penjajahan.
Di atas runtuhan Kota Melaka,
Kita bangunkan jiwa merdeka,
Bersatu-padulah seluruh baka,
Membela hak keadilan pusaka.
Demikianlah ungkapan puitis oleh Dr.
Burhanuddin al-Helmi yang menggariskan hakikat agenda perjuangan bangsa.
Gagasan tersebut meletakkan perjuangan membangun jiwa merdeka sebagai agenda
utama dan diikuti dengan agenda perpaduan bangsa dalam perjuangan mendaulatkan
prinsip keadilan termasuk mengembalikan dan memelihara hak ketuanan bangsa.
Justeru, hanya manusia berjiwa merdeka yang mengetahui hak-haknya dan sanggup berjuang
bermati-matian demi mempertahankannya.
Realiti
Masyarakat Masa Kini
Antara permasalahan paling mendasar dalam
kalangan masyarakat anak jajahan ialah masalah jiwa hamba: jiwa yang lemah,
penakut,tidak merasa punya maruah dan kehormatan, rela dihina, mudah menyerah, hilang
daya juang, tak punya daya tahan, tidak percaya diri, tidak mempunyai wawasan,
tidak memiliki cita-cita tinggi, tidak mampu berfikir kritis dan sebagainya.
Malik Bennabi menyebut bahawa perjuangan membebaskan tanah air harus segera
disusuli dengan perjuangan memerdekakan minda, apalah erti dan nilai
kemerdekaan bumi pertiwi andai rakyat peribuminya masih tetap berminda anak
jajahan. Sebuah negara yang merdeka amat memerlukan kaum cendekiawan model baru
yang berjiwa merdeka, berminda terbuka, berfikiran kritis, objektif, mengakar
dalam tradisi keilmuan, menghadirkan diri dalam lapangan masyarakat yang bertindak
sebagai pemangkin perubahan.
Jika penjajahan lebih berupa perompakan harta
kekayaan sesuatu bangsa, perhambaan pula lebih berupa penguasaan terhadap diri
sesuatu golongan. Itulah sebenarnya hakikat disebalik istilah penjajahan budaya
yang berintikan penguasaan minda. Apabila minda telah dikuasai, maka segala
gerak tindak dan arah langkahnya ditentukan sepenuhnya oleh orang lain. Jika
pada zaman tradisi perhambaan diertikan sebagai pemerasan tenaga fizikal
seseorang demi kepentingan tuannya, manakala pada zaman perhambaan moden ini
yang diperas adalah otak. Jika sasaran perhambaan fizikal adalah orang awam-
buruh,petani dan yang sejenis dengannya, sasaran penjajahan mental adalah
golongan elit- cendekiawan,ilmuan, mahasiswa dan pemimpin masyarakat yang
menerusi merekalah nantinya seluruh bangsa dikuasai.
Sekali mara terus mara,
Daripada hidup ber'tuah' pada kebatilan,
Mahupun men'jebat' pada membabi buta,
Biar berjuang untuk kebenaran !!
(Raja Ahmad Aminullah, 1975, Kumpulan Sajak Menyarung
Jiwa)
Tanamlah gagasan, petiklah tindakan. Tanamlah
tindakan, petiklah kebiasaan. Tanamlah kebiasaan, petiklah watak. Tanamlah
watak, petiklah nasib. Dimulai dari gagasan yang diwujudkan dalam tindakan,
kemudian tindakan yang dilakukan berulang-ulang akan menjadi suatu kebiasaan.
Kebiasaan yang dilakukan berkali-kali akan menjelma menjadi watak, dan watak inilah
yang akhirnya berubah kepada nasib. Jadi nasib kita, kita sendirilah yang
menentukannya. Nasib kita ada di tangan kita.
Akhir kata, tiada istilah terlewat
dalam melakukan perubahan, berubahlah kearah kebaikan.Perubahan berlaku
bilamana kita berani mencabar kelaziman, keluar dari lingkaran kepompong zon
keselesaan. Saya pilih undi ! Anak muda pemangkin perubahan! Berubahlah sebelum
anda diubah !
2013:
Harapan & Perubahan !
Muhamad
Fazli Bin Abd Halim
Mahasiswa
Tahun Akhir (MTA)
Universiti
Malaysia Pahang