Saturday, October 17, 2009

Panduan Ringkas Untuk Mencapai Kejayaan...

Kejayaan tidak dapat dicapai dalam sekelip mata. Untuk mencapai kejayaan, anda hendaklah membuat perancangan dan mengikutinya dengan teliti. Ia sebenarnya tidak terlalu sukar untuk dilakukan, tetapi ia memerlukan komitmen dan kerja keras. Apa yang menarik, sebaik sahaja anda bermula, kesannya akan dapat anda lihat hampir serta-merta. Ini ialah kerana setiap langkah kecil yang anda ambil ke arah kejayaan akan menarik lebih banyak lagi kejayaan. Berikut adalah beberapa panduan ringkas yang boleh membantu anda mencapai kejayaan dalam hidup.

1. Lihat dalam cermin
orang yang merenung anda dari dalam cermin itu ialah satu-satunya orang yang bertanggungjawab terhadap kejayaan anda. Senyum! Tiada orang lain yang membawa anda ke tangga kejayaan dan tiada orang lain yang harus dipersalahkan bagi kesilapan anda. Mereka yang berjaya adalah mereka yang bertanggungjawab penuh ke atas setiap tindakan mereka.
2. Lemparkan senyuman kepada arca anda.
Orang yang berjaya sentiasa gembira, optimistik, dan berfikiran jauh. Senyumlah, walaupun anda rasa tiada apa yang harus disenyumkan. Fikiran positif mengatasi fikiran negatif. Semasa anda sedang tersenyum, sukar bagi anda untuk berfikir secara negatif.
3. Keyakinan diri adalah teras kejayaan.
Yakinlah dengan kemampuan, pencapaian dan potensi diri sendiri. Jangan kesalkan kesilapan yang lalu. Pujilah diri sendiri atas segala pencapaian yang telah anda perolehi dan ucapkan tahniah atas setiap langkah positif yang anda ambil ke arah kejayaan masa hadapan.
4. Percaya pada diri sendiri.
Tuhan menciptakan setiap dari kita dengan tujuan yang tertentu. Carilah misi anda dalam hidup dan mulalah berusaha untuk mencapainya.
5. Keinginan untuk berjaya.
Tetapkan pendirian bahawa anda akan berjaya, dan jadikan ianya satu matlamat.
6. Kaitkan diri dengan orang yang berjaya.
Buat apa yang mereka buat. Apabila berhadapan dengan beberapa pilihan, buatlah pilihan yang mungkin dibuat oleh seseorang yang berjaya. Adakah anda akan menghabiskan wang bonus anda dengan berjudi atau adakah anda akan laburkannya?
7. Jauhkan diri daripada orang yang gagal.
Jangan kaitkan diri dengan orang yang berfikiran negatif. Mereka yang berfikiran negatif ini seumpama racun; mereka merosakkan, bukannya membina. Mereka adalah lintah yang hidup dengan menghisap darah orang lain. Mereka akan menenggelamkan anda lebih cepat daripada anda menarik diri anda ke atas. Anda boleh memilih untuk menjauhkan diri dari orang yang berfikiran negatif ini. Elakkan orang yang suka merungut, mengadu-domba, sering menyalahkan orang lain dan mereka yang suka merajuk.
8. Buat sesuatu berdasarkan bakat anda dan yang boleh mendatangkan kepuasan pada diri anda.
Tidak ada sebab mengapa anda harus terus melakukan sesuatu yang membosankan, sesuatu yang tidak sihat, tidak produktif, tidak bermakna dan tidak memberi kepuasan.
9. Tuliskan wawasan anda dan cara hidup bagaimana yang anda mahu jalani.
Tulis dengan terperinci. Di mana anda hendak tinggal, jenis karpet yang ada, siapa kawan-kawan anda, apa nama haiwan peliharaan anda, bagaimana bentuk dewan rekreasi masyarakat yang akan anda sumbangkan, dan sebagainya. Buatlah buku skrap masa depan dan tampalkan gambar, lukisan, esei dan keratan akhbar. Bayangkan diri anda hidup sebagaimana impian anda, dan berlagaklah sepertimana ianya!
10. Tuliskan matlamat terbesar anda, iaitu matlamat yang paling ingin anda capai.
Tuliskannya dalam kata kerja semasa seperti "I am...", "I have...", "I contribute...". Kejayaan merupakan akibat daripada pilihan yang anda buat, oleh itu mulakan matlamat anda dengan perkataan “saya”. Baca matlamat anda dengan kuat setiap pagi dan malam. Beritahu orang lain matlamat anda. Buat perancangan untuk mencapai matlamat itu dan ikuti dengan teliti.
11. Belajar rahsia kejayaan.
Baca buku, dengar kaset, tonton video dan program televisyen yang positif. Kenali orang yang telah berjaya dan tanya apakah rahsia mereka dalam mencapai kejayaan. Penuhi fikiran anda dengan fikiran-fikiran positif dan beri keyakinan pada diri sendiri.
12. Setiap hari buat sesuatu yang membawa anda lebih dekat dengan matlamat anda.
Jangan sekali-kali berputus asa. Anda hanya boleh gagal apabila anda berhenti mencuba. Teruskan usaha dan anda akan berjaya. Anda perlu mematuhi sistem tertentu untuk mencapai kejayaan. Mulakannya hari ini dengan mempraktikkan 12 panduan ringkas ini dalam kehidupan seharian anda.

Setiap orang mempunyai perasaan takut pada kegagalan, tidak pasti, ragu-ragu, rendah keyakinan diri, tertekan, resah dan malu. Orang yang berjaya adalah mereka yang dapat mengatasi keadaan ini dengan cara mengambil langkah positif, mematuhi perancangan mereka, mengekalkan wawasan masa hadapan, belajar daripada kesilapan dan dengan mendedikasikan diri mereka demi mencapai misi hidup mereka. Dengan mengikuti langkah-langkah mudah ini, anda akan memperolehi kejayaan yang anda inginkan.

No comments:

Post a Comment